Yuseri Yusoff (kiri) dan isteri Anida Idrus hadir di Mahkamah Koroner, hari ini pada prosiding inkues berhubung kematian anak mereka Nour Rania Asyifaa yang berusia 15 bulan. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Inkues kematian baby Syifa bermula 22 September

SEREMBAN, 29 JUN: Inkues bagi menentukan punca kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan ketika di bawah jagaan sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan di sini, akan bermula di Mahkamah Koroner di sini pada 22 September ini.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed juga menetapkan 10 dan 17 November bagi prosiding inkues itu selepas kes disebut di hadapannya hari ini.

Prosiding kes itu sepatutnya berlangsung di hadapan Koroner lain, bagaimanapun beliau tidak dapat hadir kerana berkursus.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues memohon mahkamah mengeluarkan perintah interim supaya bapa mangsa, Yuseri Yusoff tidak membuat sebarang perkongsian di laman sosial yang menyentuh peranan mahkamah, peguam dan polis bagi memastikan prosiding inkues itu berjalan lancar.

Rushan Lutfi membenarkan permohonan pendakwaan untuk mendapatkan perintah interim itu sehingga permohonan secara bertulis dikemukakan kepada mahkamah.

“Mahkamah mengarahkan Yuseri Yusoff supaya tidak membuat sebarang komen atau berkongsi maklumat atau dokumen dalam media sosial atau mana-mana media mengenai kes ini sehingga kes selesai,” kata hakim itu.

Peguam Muhammad Amin Anuar dan Gaithri Thomas bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga bayi itu, manakala Norliana Ali Othman bagi pihak pengasuh dalam kes tersebut.

Media melaporkan pada 23 Februari lepas, Nour Rania atau ‘baby Syifa’ ditemui tidak sedarkan diri, selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di pusat asuhan itu pada kira-kira 3 petang.

Kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik oleh pengasuhnya.

– BERNAMA


Pengarang :