Bakal jemaah haji bergambar selepas selesai menerima insentif Haji Muassasah di Masjid Al-Amaniah Gombak pada 20 Julai 2017. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Insentif haji, DUN Batang Kali terima hampir 100 permohonan

SHAH ALAM, 3 JUN: Hampir 100 bakal jemaah haji sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali memohon Insentif Haji Muassasah setakat ini.

Penyelarasnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata semua pemohonan diteliti terlebih dahulu dan individu layak akan menerima sumbangan dalam masa terdekat.

“Kami menggunakan masjid dan surau sebagai platform hebahan permohonan insentif ini. Mungkin ada yang sudah lupa memandangkan bantuan tertangguh dua tahun akibat Covid-19.

“Dalam masa sama hebahan di media sosial turut dilakukan. Harap bantuan ini dapat meringankan beban jemaah dalam menyediakan keperluan beribadah,” katanya kepada SelangorKini.

Insentif Haji Muassasah Selangor diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta dan bakal memanfaatkan 3,000 jemaah.

Pemohon yang layak akan menerima tunai RM500 serta kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

Antara syarat permohonan mestilah warganegara Malaysia, tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji.


Pengarang :