EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim menyerahkan bantuan insentif pertanian ketika Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Insentif tani bantu pengusaha tingkat hasil tanaman, kembang perniagaan

HULU LANGAT,  20 JUN: Inisiatif Kerajaan Negeri menyalurkan modal tambahan kepada usahawan tani sempena program Jelajah Selangor Prihatin semalam, meringankan beban golongan tersebut.

Pengusaha dusun buah di Semenyih di Kajang, Safura Sani, 57, berkata sumbangan berjumlah RM45,000 menerusi pemberian baja, anak benih dan mesin pertanian membolehkan dusun 12 ekar yang diusahakan bersama petani lain mengeluarkan hasil lebih baik.

Safura Sani. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bantuan ini memang diperlukan terutama baja. Sekarang harga baja tinggi menyebabkan kami terpaksa mengurangkan kuantiti.

“Ini boleh menjejaskan kualiti buah sekali gus pendapatan kami. Jadi bila dapat bantuan ini, ia bukan hanya kurangkan belanja tapi bantu pokok keluarkan buah berkualiti,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu pengusaha ladang kelulut 525 Honey Luthpy Rosly berkata bantuan RM10,000 yang diterima dijadikan modal menambah sarang lebah bagi memasarkan lebih banyak madu asli.

“Permintaan madu asli tinggi tapi produk tiada. Sekarang banyak madu bercampur yang dijual, nak dapatkan yang betul-betul asli susah. Orang ramai mahukan madu tanpa campuran.

Luthpy Rosli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah dengan insentif diberikan dapat saya tambah sarang supaya lebih banyak madu asli dapat dipasarkan,” katanya.

Semalam seramai 24 petani di Hulu Langat menerima bantuan membabitkan peruntukan lebih RM400,000 melibatkan input seperti biji benih, baja dan mesin.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim berkata jumlah berkenaan sebahagian dari hampir RM2 juta yang dibelanjakan bagi membantu petani sempena Jelajah Selangor Penyayang.

Program bantuan rakyat itu membuka tirai di Hulu Langat bagi mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat turut melibatkan penyertaan 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Inisiatif dijayakan menerusi peruntukan RM600 juta di bawah Iltizam Selangor Penyayang, menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.


EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim bergambar bersama penerima insentif pertanian ketika Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :