Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dalam sidang media di Pasaraya ST Rosyam, Shah Alam pada 4 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Invest Selangor jangka tapak pameran SIBS 2022 selesai ditempah Ogos

SHAH ALAM, 4 JUN: Invest Selangor menjangkakan 850 tapak pameran untuk Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 selesai ditempah dalam tempoh dua bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Hasan Azhari Idris berkata setakat ini tapak pameran bagi Ekspo Selangor Taman Perindustrian (SPARK) hampir selesai ditempah.

“Manakala untuk Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) Makanan dan Minuman (F&B) pula kini mencapai 40 peratus dan Perubatan pula 35 peratus. Bagi Ekspo Bandar Pintar Selangor dan Ekspo Selangor Penyelidikan pula kita masih meneliti.

“Buat masa ini, gerai paling banyak ialah F&B iaitu 480 tapak pameran kerana pasaran sektor ini lebih meluas dan banyak negara berminat,” katanya dalam sidang media di Pasaraya ST Rosyam hari ini.

Tambah beliau, setakat ini penglibatan dari negara luar amat menggalakkan terutama Indonesia, Taiwan, China, Thailand dan India.

SIBS 2022 menawarkan 850 tapak pameran sepanjang program yang berlangsung pada 6 hingga 9 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan daripada jumlah berkenaan, 20 peratus tapak dijangka melibatkan pelabur luar negara.

Jelasnya, sepanjang empat hari program itu pihaknya menyasarkan potensi jualan sehingga RM350 juta dan mampu menarik 30,000 pengunjung.


Pengarang :