Selangorkini
Peserta membuat pemeriksaan kesihatan ketika program Selangor Saring sempena Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jelajah bantuan baharu diteruskan di Dataran Pantai Morib pada 25 Jun

SHAH ALAM, 21 JUN: Karnival Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat bakal diadakan di Dataran Pantai Morib Kuala Langat, Sabtu ini.

Program anjuran Kerajaan Negeri yang mendapat sambutan menggalakkan di Taman Kosas, Ampang kelmarin seterusnya dijadual berlangsung di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai.

Pada 16 Julai pula, acara berkenaan akan dijalankan di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya diikuti Padang Awam Batu Caves Gombak hujung bulan depan.

Pelbagai acara diatur dalam program bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang antaranya persembahan artis, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, papan selaju dan e-sukan.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan jelajah itu bertujuan mempromosi inisiatif kebajikan yang disertai 23 anak syarikat negeri.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan IPR supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.


Pengarang :