Petugas kesihatan memeriksa tekanan darah salah seorang peserta progam Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah bantuan baharu untuk rakyat bermula 11 Jun di Hulu Langat

SHAH ALAM, 1 JUN: Karnival Jelajah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi mempromosi inisiatif kebajikan untuk rakyat dijadual bermula di Hulu Langat pada 11 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bakal menyempurnakan pembukaan program sehari itu, yang turut diadakan di beberapa daerah lain sehingga Julai depan.

“Kita bukan hanya bertukar nama (program) tetapi kita mahu tanamkan budaya dan semangat kasih sayang antara kita,” katanya pada 21 Mei.

Selain menghebah maklumat inisiatif, program tersebut turut diserikan pelbagai acara antaranya senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, papan selaju dan e-sukan.

Pelaksanaan ISP membabitkan peruntukan RM350 juta menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat yang disediakan Kerajaan Negeri.

Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) misalnya membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Saring Selangor untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Jelajah itu turut dijadual diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.


Pengarang :