Antara penduduk yang hadir ke program Selangor Saring di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Tiram Jaya. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah bantuan baharu untuk rakyat di Ampang 19 Jun

SHAH ALAM, 17 JUN: Program Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat bakal berlangsung di padang Taman Kosas, Ampang Ahad ini.

Dijadual bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang, program yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bakal dirasmikan Dato’ Menteri Dato’ Seri Amirudin Shari.

Program sama akan diteruskan di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun sebelum diperluas ke daerah lain.

Dalam acara di Ampang, Amirudin dijadual menyempurnakan penyerahan surat tawaran kepada 10 pembeli Rumah Idaman di samping penyampaian geran skim pertanian dan usahawan.

Program tersebut turut diserikan pelbagai acara antaranya persembahan artis, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, papan selaju dan e-sukan.

Turut diadakan pertandingan bola sepak bawah lapan dan 10 tahun selain pertandingan mewarna dengan tawaran hadiah wang tunai bermula dari RM30 hingga RM500.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan jelajah itu bertujuan mempromosi inisiatif kebajikan yang disertai 23 anak syarikat negeri.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan IPR supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.


Pengarang :