Peserta menghadiri temu duga program Jelajah JobCare Selangor di Dewan Taman Gombak, Gombak 4 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jelajah JobCare bantu golongan muda luar bandar peroleh pekerjaan

TANJUNG KARANG, 12 JUN: Golongan muda khususnya di luar bandar digesa merebut peluang kerja yang ditawarkan menerusi program Jelajah Jaminan Kerja (JobCare) Selangor, kata wakil rakyat Permatang.

Rozana Zainal Abidin berkata penganjuran program carian kerja di kawasan luar bandar sebenarnya sudah disesuaikan atau mempunyai padanan antara majikan dan peserta.

“Walaupun ada 23 syarikat tetapi mereka daripada pelbagai sektor dan dibawa khas untuk memenuhi kehendak mereka yang mahu mencari kerja.

“Tiada alasan lagi jika anak muda ini khususnya anak tempatan gagal memperoleh pekerjaan, selepas program ini dibawa terus kepada mereka,” katanya ditemui pada program itu semalam.

Malah, katanya, beberapa risalah pekerjaan daripada syarikat terbabit turut diletakkan di pejabat pusat khidmat masyarakatnya untuk kemudahan individu yang ingin mencari kerja.

“Risalah ini akan diberikan kepada mana-mana individu yang datang mencari kerja.

“Sebenarnya ada banyak peluang pekerjaan di pasaran sekarang cuma mungkin ia bukan kerja atau jawatan yang diinginkan oleh golongan muda ini,” katanya.

Sementara itu, Jelajah Jobcare yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini disertai lebih 15 syarikat tempatan dalam pelbagai sektor.

Individu berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site .

Berikut lokasi dan tarikh seterusnya penganjuran Jelajah JobCare:

  • Dewan Banting Baru, Kuala Langat (18 Jun)
  • Dewan Sri Bernam, Sabak Bernam (25 Jun)

Pengarang :