Ganabatirau melawat salah sebuah syarikat terlibat dalam progran Jelajah Jaminan Kerja (JobCare) Selangor di Tanjung Karang yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat pada 11 Jun 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Jelajah JobCare Tanjung Karang terima lebih 1,000 peserta

TANJUNG KARANG, 11 JUN: Lebih 1,000 pencari kerja mendaftar menerusi Jelajah Jaminan Kerja (JobCare) Selangor di daerah ini hari ini.

EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau berkata daripada jumlah tersebut lebih 600 individu hadir untuk sesi temuduga manakala selebihnya secara hibrid.

“Kelainan siri jelajah kali ini merupakan kerjasama dengan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dan diadakan secara fizikal dan hibrid.

“Saya teruja kerana kehadiran peserta amat menggalakkan berbanding siri jelajah sebelum ini. Selain itu, sebanyak 23 syarikat terlibat dan menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan siri jelajah itu di Dewan Dato’ Hormat di sini.

Turut hadir Yang Dipertua Perdasama Selangor, Mohd Azamanizam Baharon dan wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin.

Tambahnya, peserta yang hadir ke jelajah ini berpeluang mendapat pekerjaan kerana syarikat terlibat amat memerlukan pekerja.

“Contohnya syarikat Panasonic, mereka memaklumkan bersedia untuk mengambil seramai mana individu yang hadir menjalani temuduga.

“Ini adalah kejayaan yang sangat besar dalam membantu peserta mendapat pekerjaan,” katanya.

Siri jelajah ini menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini dengan disertai lebih 15 syarikat tempatan dalam pelbagai sektor.

Individu berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site .

Berikut lokasi dan tarikh Jelajah JobCare seterusnya:

1. Dewan Banting Baru, Kuala Langat (18 Jun)
2. Dewan Sri Bernam, Sabak Bernam (25 Jun)


Pengarang :