Kanak-kanak menyertai acara sukaneka mengisi air dalam botol ketika Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah Selangor Penyayang ke Pantai Morib 25 Jun

SHAH ALAM, 22 JUN: Karnival Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat bakal diadakan di Dataran Pantai Morib Kuala Langat Sabtu ini.

Pelbagai acara diatur dalam program bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang antaranya persembahan artis, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, papan selaju dan e-sukan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jelajah tersebut dianjurkan di sembilan daerah dengan setiap satu daripadanya menyediakan subsektor berbeza untuk manfaat rakyat.

“Ini sebagai usaha untuk perkenal semula program kepedulian rakyat kita yang dinamakan sebagai Inisiatif Selangor Penyayang atau Iltizam Selangor Penyayang,” katanya pada 19 Jun.

Program yang turut melibatkan anak syarikat negeri mula diadakan di Taman Kosas, Ampang dan seterusnya dijadual berlangsung di Stadium Utama Kuala Selangor, 2 Julai.

Pada 16 Julai, acara berkenaan akan dijalankan di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya diikuti Padang Awam Batu Caves Gombak pada 31 Julai.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.


Pengarang :