Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman bercakap kepada media selepas sesi pendengaran awam penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 1 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

JKNS: 408 notis kesalahan dikeluarkan sepanjang operasi khas

SHAH ALAM, 24 JUN: Sebanyak 408 notis berkaitan pelbagai kesalahan dengan tawaran kompaun bernilai RM222,800 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), menerusi operasi khas secara bersepadu yang dilaksanakan di beberapa kawasan di negeri tersebut selama dua hari, sejak Rabu lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata operasi itu diadakan bagi menguatkuasakan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, bersama dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Beliau berkata operasi yang menyasarkan premis makanan di Kajang, Bangi dan kawasan sekitarnya, membabitkan 106 anggota jabatan tersebut.

“Bagi penguatkuasaan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, sebanyak 37 premis makanan telah ditutup selama tempoh 14 hari, dan 283 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan tawaran kompaun bernilai RM192,900.

“Bagi penguatkuasaan PPKHT 2004, sebanyak 125 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan tawaran kompaun bernilai RM 30,900, dengan pelbagai kesalahan antaranya merokok di tempat makan dan kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok di premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sekiranya Orang Yang Dikenakan Notis atau ditawarkan kompaun berkenaan tidak menjelaskan bayaran dalam tempoh masa yang ditetapkan, tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil.

“Diharapkan melalui operasi ini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesalahan merokok di semua kawasan larangan merokok, khususnya di premis makanan dan tumpuan orang awam selain dapat memastikan tahap kebersihan premis makanan berada di tahap yang optimum,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :