Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman bercakap kepada media selepas sesi pendengaran awam penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 1 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

JKNS rampas makanan tambahan tidak berdaftar bernilai hampir RM300,000

SHAH ALAM, 2 JUN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas sejumlah 329 jenis produk makanan tambahan kesihatan tidak berdaftar, dianggarkan bernilai RM295,000, menerusi serbuan ke atas sebuah premis perniagaan di Kajang, Selasa lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata serbuan tersebut dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi (CPF) JKNS ekoran aduan orang ramai.

Beliau berkata sebahagian produk yang dirampas itu dipercayai diperoleh dari luar negara dan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan (KKM).

“Siasatan awal mendapati produk itu diiklankan melalui sebuah platform e-dagang terkenal dalam negara dengan tuntutan palsu ia berdaftar dengan KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Sha’ari berkata siasatan dijalankan mengikut Peraturan 7 (1) (a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan pemilik premis berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Jualan Dadah 1952, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

 


Pengarang :