Orang ramai membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dalam Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah 2,000 ekor ayam di jelajah bantuan rakyat esok

SHAH ALAM, 18 JUN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjual 2,000 ekor ayam sempena Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang esok.

Pengurus Kanan Pemasaran Mohd Fazir Abd Latif berkata inisiatif jualan murah itu membolehkan orang ramai membeli ayam pada harga RM15 seekor, lebih murah berbanding pasaran.

“Ayam dijual seberat 1.8 hingga dua kilogram (kg) dan harganya masih murah berbanding pasaran yang ketika ini boleh mencecah lebih RM20.

“Selain ayam, kita juga membawa keperluan lain seperti 1,000 papan telur ayam, daging segar (1,000kg), beras, minyak masak, sayur dan buah,” katanya di Jelajah Jualan Ehsan di tapak parkir Masjid Al-Bakri Kampung Bukit Naga di sini, hari ini.

Jelajah Selangor Penyayang yang membuka tirai di daerah berkenaan bertujuan mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat dengan penyertaan 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Jelajah itu turut dijadual diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas menerusi program Jelajah Jualan Ehsan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di tapak parkir Masjid Al-Bakri Kampung Bukit Naga, Shah Alam pada 18 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :