Orang ramai menyertai acara senamrobik ketika program Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Karnival bantuan rakyat di Kuala Langat anjur banyak acara menarik

SHAH ALAM, 23 JUN: Program Jelajah Selangor Penyayang yang akan diadakan di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat Sabtu ini menyediakan banyak inisiatif dan aktiviti untuk rakyat.

Dijadual bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang, program yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam acara di Kuala Langat, Amirudin dijadual melancarkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Turut berlangsung ialah penyerahan barangan bagi program Dana Usahawan Mikro Selangor, Pemerkasaan dan Pembangunan Usahawan India Selangor (i-Seed) dan Halal Suri.

Pada sebelah petang, karnival akan diserikan dengan program santai bersama Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.

Program bersama EXCO Usahawan Rodziah Ismail pula melibatkan penyerahan pembiayaan skim Hijrah Selangor sementara Smart Selangor Delivery Unit meliputi penyerahan aset untuk bilik gerakan bencana.

Acara lain yang diatur antaranya persembahan artis, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, sukan tabika perpaduan serta pameran dan jualan.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan IPR supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.


Pengarang :