Sebahagian peserta yang menghadiri temu duga pada program Jelajah JobCare di Dewan Utama Demesne, Hulu Langat pada 21 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Karnival kerjaya dijangka dapat sambutan, tawar 20,000 peluang kerja

PUCHONG, 7 JUN : Karnival Kerjaya Mega berlangsung di Shah Alam hujung minggu ini dijangka mendapat sambutan baik dengan sasaran lebih 9,000 pengunjung.

EXCO pembangunan generasi muda berkata ramai orang diyakini akan hadir untuk mengambil peluang mengisi 20,000 kekosongan jawatan ditawarkan oleh lebih 100 syarikat pelbagai sektor.

“Alhamdulillah persediaan karnival berjalan lancar setakat ini kira-kira 102 majikan telah berdaftar untuk menyertai program tersebut dan kita jangka keseluruhan 115 majikan terlibat.

“Menariknya, kali ini agensi Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga turut bersama dengan menawarkan pelbagai kekosongan jawatan,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada media selepas Majlis Santuni Pelajar Tahfiz dan Sumbangan Wakaf al-Quran di Maahad Tahfiz An-Nur (Matan) di Taman Puchong Intan di sini hari ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (tengah) beramah mesra bersama pelajar ketika majlis penyerahan sumbang Wakaf Al-Quran kepada Maahad Tahfiz An Nur (Matan) di Taman Puchong Intan, Subang Jaya pada 7 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Karnival Kerjaya Mega dijadual berlangsung pada 11 dan 12 Jun di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Syarikat terlibat antaranya Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Agensi lain meliputi Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.

Untuk maklumat lanjut, layari www.SelangorJobportal.com.my .


Pengarang :