Orang ramai menghadiri Karnival Kerjaya Mega 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Karnival Kerjaya Mega dapat sambutan, Selangor rancang anjur lagi program sama

SHAH ALAM, 27 JUN: Hampir 7,000 individu menyertai Karnival Kerjaya Mega 2022 anjuran Kerajaan Negeri yang berlangsung pada 11 dan 12 Jun lalu.

EXCO pembangunan generasi muda berkata daripada jumlah berkenaan lebih 280 peserta telah mendapat kerja melibatkan pelbagai sektor setakat ini.

“Kita yakin lebih ramai lagi peserta mendapat pekerjaan menerusi program ini namun data masih belum diperoleh. Maklumat dikemaskini dari semasa ke semasa.

“Usaha seperti ini diteruskan pada masa akan datang untuk menurunkan kadar pengangguran sekali gus memastikan kebajikan masyarakat terpelihara,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini.

Karnival berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu melibatkan lebih 100 syarikat termasuk badan kerajaan dan agensi Kerajaan Negeri yang menawarkan lebih 20,000 peluang kerjaya.

Antara syarikat turut serta adalah Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Tidak ketinggalan Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.


Pengarang :