Orang ramai menghadiri program Selangor Mega Job Fair 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Karnival kerjaya negeri bantu pengangguran turun kepada 2.6 peratus

SHAH ALAM, 11 JUN: Kadar pengangguran negeri bakal turun kepada 2.6 peratus sekiranya 20,000 peluang kerja dalam Karnival Kerjaya Mega 2022 berjaya dipenuhi.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata setakat Mac, seramai 118,100 individu melibatkan 3.2 peratus dilaporkan tidak bekerja.

Jelas beliau jumlah itu membimbangkan kerana berlaku peningkatan berbanding rekod tahun lalu iaitu 2.9 peratus membabitkan 105,300 individu.

“Untuk karnival ini, kita sasar 5,000 hingga 6,000 individu berjaya mendapat tempat di mana-mana syarikat. Sasaran ini membabitkan kira-kira 30 peratus tawaran kerja sedia ada.

“Jika semua kerja dipenuhi, kadar pengangguran turun 2.6 peratus. Saya yakin mampu capai dengan syarat ramai individu datang ke sini mencari kerja,” katanya selepas meninjau karnival berkenaan.

Sehingga hujung tahun ini, Mohd Khairuddin yakin kadar pengangguran negeri kekal bawah empat peratus dan akan berusaha menyediakan platform membantu orang ramai mendapat kerja.

“Diharap rakyat khususnya golongan belia mengambil peluang ini dan mampu bersama-sama meningkatkan tenaga kerja dalam negeri ini,” katanya.

Karnival dua hari sehingga esok yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini menawarkan lebih 20,000 peluang kerja.

Lebih 100 syarikat mengambil bahagian antaranya Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Tidak ketinggalan Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.


Pengarang :