Aksi Lee Zii Jia ketika menentang Liew Daren di Impact Arena, Bangkok pada Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

KBS hormat keputusan Zii Jia tarik diri bertanding di Sukan Komanwel

IPOH, 25 JUN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghormati keputusan pemain profesional negara Lee Zii Jia yang menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya akur dengan Zii Jia yang mahu memberi fokus kepada persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun pada Ogos depan.

“Saya sudah bercakap dengan beliau sendiri dan beliau memohon maaf kerana sebenarnya bersungguh-sungguh hendak mewakili negara (Sukan Komanwel) tetapi jadual begitu padat menyebabkan terpaksa mengambil keputusan yang berat.

“Beliau sebenarnya berasa kesal kerana tidak dapat mewakili Malaysia untuk (sasaran) membawa pingat emas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di sini hari ini.

Rabu lepas, pemain kelima terbaik dunia itu memutuskan untuk tidak membuat penampilan pada Sukan Komanwel disebabkan jadual padat yang diharunginya sejak kebelakangan ini, di samping berhasrat memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Dunia.

Kekosongan ditinggalkan juara Asia itu memberi peluang buat Ng Tze Yong menggalas tugas sebagai perseorangan lelaki negara.

Pada temasya di Gold Coast 2018, skuad badminton membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa dengan pingat emas dihadiahkan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita Chow Mei Kuan-Vivian Hoo

– BERNAMA


Pengarang :