Exco Kerajaan Negeri Hee Loy Sian bersama badan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan bekas makanan ketika Kempen Pahlawan Bebas Plastik di Bazar Ramadan LRT Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 3 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAPBTSELANGOR

Kedudukan strategik punca Vista Alam dipilih lokasi komuniti bebas plastik

SHAH ALAM, 9 JUN: Pangsapuri Vista Alam, Seksyen 14 di sini menjadi pilihan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai Komuniti Bebas Plastik Sekali Guna (KBPSG) kerana kedudukannya yang strategik.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata selain itu lokasinya di pusat bandar memudahkan MBSA untuk melaksanakan projek perintis KBPSG sebelum ia diperluaskan ke kawasan lain.

“Vista Alam dipilih kerana kawasan ini memiliki kumpulan sasar yang diperlukan iaitu kediaman penduduk, pejabat, perbankan dan pusat komersial selain menjadi tempat tumpuan orang ramai.

“MBSA berharap peniaga, penghuni dan pengunjung di sini dapat mematuhi larangan menggunakan beg, bekas makanan serta minuman atau alatan berasaskan plastik,” kata Shahrin Ahmad kepada Selangorkini.

Menurutnya, pihak MBSA akan melakukan pemantauan secara berkala di Vista Alam bagi memastikan komuniti di kawasan itu dapat mematuhi arahan ditetapkan sekali gus menjayakan kempen bebas plastik.

Jelasnya, projek tersebut juga memberi peluang untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat berhubung kesan penggunaan jangka panjang plastik kepada alam sekitar.

Kelmarin, MBSA mengumumkan Vista Alam sebagai perintis kawasan KBPSG di Shah Alam berkuat kuasa 15 Jun ini.


Pengarang :