Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali ditemui pemberita selepas Program Tangan Bersalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Pasir Mas pada 2 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kelayakan Piala Asia 2023: Polis tingkat kawalan keselamatan

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Polis akan mempertingkat kawalan keselamatan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia antara Turkmenistan menentang Malaysia dan Bahrain melawan Bangladesh hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata menjelang perlawanan yang dijangka dihadiri 85,000 penonton itu, pihaknya juga akan memastikan tatacara operasi piawai yang ditetapkan dipatuhi.

Beliau berkata penugasan polis turut melibatkan kawalan lalu lintas dan keselamatan orang ramai yang akan bermula 4 petang itu.

“Polis juga akan mengetatkan kawalan keselamatan pada perlawanan akan datang di antara Bangladesh melawan Turkmenistan dan Malaysia menentang Bahrain, Sabtu ini.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium. Petugas akan memeriksa badan mahupun beg yang dibawa penonton dan mereka yang tidak lengkap vaksin tidak dibenarkan memasuki stadium,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata penonton juga tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium antaranya mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, objek tajam, senjata, minuman keras dan payung.

Hazani berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas jika terdapat penonton yang melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Untuk kelancaran lalu lintas sepanjang perlawanan, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam ke stadium, elak melalui jalan-jalan sekitar stadium dan mematuhi arahan anggota polis bertugas.

“Pengguna jalan raya tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium dan tindakan saman serta tunda akan diambil ke atas kenderaan yang menghalang lalu lintas,” katanya.

Hazani berkata orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka serta menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sewaktu mahupun selepas perlawanan tersebut.

Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-9205 0222 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :