Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon memberikan arahan kepada pemain ketika sesi latihan menjelang kelayakan Piala Asia 2023 di Wisma FAM, Petaling Jaya pada 4 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Kelayakan Piala Asia: FAM umum senarai 23 pemain Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Impian pemain naturalisasi Liridon Krasniqi untik beraksi pada pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 berkecai selepas gagal berada dalam senarai 23 pemain skuad Harimau Malaya bagi saingan itu di sini minggu depan.

Bagaimanapun, dua lagi pemain naturalisasi Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh boleh menarik nafas lega selepas masih diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih Kim Pan Gon untuk beraksi dalam pusingan kelayakan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Selain Liridon, turut diketepikan adalah penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Afiq Fazail, Kogileswaran Raj, Shahrul Nizam Ros Hasni, Norshahrul Idlan Talaha dan Syahmi Safari.

“Syahmi terdahulu telah dilepaskan daripada kem latihan pusat pada 31 Mei lalu kerana masalah kesihatan,” menurut kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Sehubungan itu, FAM mengucapkan terima kasih atas komitmen yang telah diberikan para pemain terlibat di sepanjang kem latihan pusat sejak 20 Mei lalu.

Menurut FAM lagi, pemain yang tidak terpilih tetap akan berada dalam senarai bersedia sekiranya penggantian pemain perlu dilakukan.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan E bagi pusingan akhir kelayakan itu akan memulakan kempen menentang Turkmenistan pada Rabu ini diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Berikut merupakan senarai akhir 23 pemain yang dipilih untuk membawa cabaran skuad Harimau Malaya pada tiga perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023:

  1. Mohd Farizal Marlias, 36 tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  2. Shahrul Mohd Saad, 29 tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  3. Corbin-ong La’vere Lawrence, 31 tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  4. Mohamed Syamer Kutty Abba, 25 tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  5. Muhammad Nazmi Faiz Mansor, 28 tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  6. Safiq Rahim, 35  tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  7. Arif Aiman Mohd Hanapi, 20 tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  8. Muhammad Safawi Rasid, 25 tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  9. Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 23 (Johor Darul Ta’zim FC)
  10. Mohamadou Sumareh, 28 tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  11. Matthew Davies, 27 tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  12. Guilherme De Paula Lucrecio, 36 tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  13. Muhammad Syafiq Ahmad, 27 tahun (Johor Darul Ta’zim FC)
  14. Darren Yee Deng Lok, 32 tahun (Petaling Jaya City FC)
  15. V. Ruventhiran, 21 tahun (Petaling Jaya City FC)
  16. Ahmad Khuzaimi Piee, 29 tahun (Negeri Sembilan FC)
  17. Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, 26 tahun (Negeri Sembilan FC)
  18. Mohamad Faisal Abdul Halim, 24 tahun (Terengganu FC)
  19. Mohd Khairulazhan Mohd Khalid, 33 tahun (Selangor FC)
  20. Dominic Tan Jun Jin, 25 tahun (Sabah FC)
  21. Muhamad Nor Azam Abdul Azih, 27 tahun (Sri Pahang FC)
  22. Dion-Johan Cools, 26 tahun (SV Zulte Waregem)
  23. Junior Eldstal, 31 tahun (Chonburi FC)

— BERNAMA

 


Pengarang :