Seorang peniaga ayam sedang melayan pelanggan yang mengunjungi gerainya ketika tinjauan Media Selangor di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan pada 12 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan tidak jadi apung harga ayam, batal rancangan naik tarif

SHAH ALAM, 24 JUN: Kerajaan hari ini memutuskan untuk mengekalkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung dengan menampung kos subsidi RM5.8 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemberian rebat dua sen per kilowatt jam (kWj) dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan.

“Untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna-pengguna domestik di Semenanjung.

“Pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj dikekalkan kepada pengguna bukan domestik iaitu pengguna komersil dan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dan harga siling baharu akan diumumkan kelak oleh menteri pertanian.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak lagi memberikan subsidi kepada penternak ayam bermula 1 Julai bagi mengurangkan bebanan kenaikan harga barangan termasuk ayam.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan kawalan harga siling ayam dan telur ayam serta subsidi minyak masak berbotol antara dua hingga lima kilogram dihentikan bermula tarikh sama.


Pengarang :