Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han turun padang bagi meninjau dan mendengar taklimat berhubung kerja pengukuhan tebing di Taman Kinrara pada 14 Jun 2022. Foto Facebook NG SZE HAN
ADNSELANGOR

Kerja pengukuhan tebing atasi bah di Taman Kinrara siap Ogos

SHAH ALAM, 16 JUN: Kerja pengukuhan tebing bagi mengatasi kejadian banjir kilat di Taman Kinrara dekat sini bakal siap Ogos ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han berkata terdapat dua kerja dilaksanakan di kawasan terbabit iaitu pengukuhan dan penstabilan tebing Sungai Kuyoh dan pembinaan ban sungai.

“Projek ini bertujuan mengelakkan kegagalan tebing Sungai Kuyoh yang mampu mendatangkan bahaya kepada penduduk Kinrara Court.

“Manakala, pembinaan ban sungai pula bagi mengelakkan aliran air yang tinggi ketika hujan lebat sehingga melimpahi kawasan Taman Kinrara,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata kedua-dua kerja pembaikan itu dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Lumpur dengan kos keseluruhan hampir RM1.1 juta.

“Terima kasih kepada pihak JPS Kuala Lumpur terhadap kerja dilaksanakan dan semoga masalah banjir di kawasan ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Sze Han turut meluangkan masa turun padang bagi meninjau kerja baik pulih itu pada 14 Jun lalu bersama JPS Petaling dan beberapa wakil penduduk.


Pengarang :