Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerja tambah baik sistem bekalan siap tengah malam, air disalur berperingkat

SHAH ALAM, 21 JUN: Kerja penambahbaikan sistem bekalan air yang dilaksana di Kolam Air Bukit Dengkil dijangka siap tengah malam ini.

Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) memaklumkan bekalan air akan disalurkan secara berperingkat kepada pengguna sebaik kerja penambahbaikan siap.

“Sehingga jam 6 petang ini, peratusan kerja adalah pada tahap 63 peratus. Kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air ini kini dijangka akan siap pada jam 12 tengah malam, 22 Jun 2022,” katanya di Facebook.

Kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Kolam Air Bukit Dengkil dimulakan 9 pagi ini mengikut jadual seperti diumumkan pada 10 Jun lalu.

Pembaikan tersebut mengambil masa 24 jam dan agihan air ke 47 kawasan dalam wilayah Petaling dibuat secara berperingkat.

Syarikat itu juga akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan mengutamakan premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Maklumat lanjut kawasan terlibat dan agihan air dimuatkan di aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi talian 15300.


Pengarang :