Dato’ Menteri Besar, Dato’ Amirudin Shari ketika berucap pada majlis pelancaran Selangor Public Health Advisory Council (Selphac) dan Apresiasi Petugas Barisan Hadapan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 7 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASELANGOR

Kerjasama ahli jawatankuasa jayakan visi, misi majlis penasihat awam

SHAH ALAM, 8 JUN: Barisan ahli jawatankuasa Majlis Penasihat Kesihatan Awam Selangor (Selphac) akan bergerak secara kolektif bagi mencapai visi dan misi ditetapkan.

Ahli penasihat kesihatan awam negeri berkata dana yang besar dilaburkan bagi penubuhan majlis itu membuktikan Kerajaan Selangor sedar kepentingan menjaga kesihatan rakyat.

“Kami akan bergabung bawa misi yang sama bagi memastikan program kesihatan awam berjalan lancar. Kami bincang, nilai dan cari cara paling bagus untuk selesaikan sesuatu masalah berkaitan hal tersebut.

“Hasilnya mungkin tidak dilihat dalam tempoh satu atau dua bulan, tetapi 10 hingga 20 tahun akan datang. Oleh sebab itu Kerajaan Negeri meletakkan dana yang besar kerana ia pelaburan jangka panjang demi kesihatan rakyat,” kata Dr Mohammad Farhan Rosli.

Dr Mohammad Farhan Rosli

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Selphac yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini semalam.

Sementara itu, pakar perunding kanan epidemologi dan perubatan kesihatan awam Universiti Sains Malaysia berkata beliau diberi tanggungjawab untuk mengembangkan peranan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) yang sebelum ini membantu menangani kes Covid-19.

Prof Dr Mohamed Rusli Abdullah menjelaskan anggota Suka di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dilatih mengurus kes penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam program Selangor Saring termasuk program kesihatan awam lain pada masa depan.

“Mereka dibimbing pelatih profesional dari Kementerian Kesihatan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi lain yang mempunyai kemahiran serta kepakaran tertentu dengan penilaian dibuat dari semasa ke semasa.

“Ia bukan melibatkan program saringan atau perubatan semata-mata, tetapi bagaimana untuk memperkasakan masyarakat di Selangor dengan ilmu pengetahuan dan cara mengawal NCD,” katanya.

Pada 13 April lalu, Kerajaan Negeri meluluskan penubuhan Selphac bagi memperkasa struktur dan fungsi jawatankuasa tetap kesihatan awam selain mengukuhkan agenda kesihatan awam selepas negara memasuki fasa endemik.

Ahli jawatankuasa majlis berperanan meningkatkan kesedaran dan tahap literasi berkaitan kesihatan awam melalui cadangan polisi serta program.

Mereka juga akan mengenal pasti isu semasa berkait kesihatan awam dan mencadangkan langkah penyelesaian selain meluaskan fungsi ketua komuniti bagi membawa agenda komuniti sihat di negeri ini.


Pengarang :