AGENDANASIONAL

Kes Influenza A di sekolah terkawal, masyarakat diminta amal kawalan kendiri

SHAH ALAM, 24 JUN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan jangkitan ‘Influenza-Like-Illness’ (ILI) menunjukkan sedikit peningkatan dalam tempoh dua minggu ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman bagaimanapun berkata penyakit itu masih terkawal walaupun berlaku penularan di institusi pendidikan khususnya sekolah berasrama.

“Antara faktor menyumbang peningkatan adalah kurangnya penekanan ‘gate keeping’ (pemeriksaan kanak-kanak atau saringan gejala sebelum masuk premis atau sekolah), pertambahan aktiviti berkumpulan, sentuhan fizikal sesama pelajar dan kurangnya amalan kebersihan kendiri.

“Kita menasihati orang ramai termasuk pentadbir institusi-institusi pendidikan dan pusat-pusat jagaan sama ada kerajaan mahupun swasta sentiasa mengamalkan langkah kawalan kendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sha’ari memaklumkan asrama Sekolah Agama Menengah Bestari (SAM Bestari) di Subang Jaya diarah tutup bermula semalam, susulan penularan Influenza A dalam kalangan pelajar.

Arahan penutupan sementara itu untuk proses nyahkuman dan mengawal jangkitan selepas seorang pelajar dimasukkan ke hospital.

Menurut beliau, setakat semalam 191 pelajar sekolah menengah berasrama itu dikesan bergejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak.

Daripada jumlah itu, lima pelajar disahkan positif Influenza A manakala 13 sampel lagi masih menunggu keputusan. Selain itu, ujian Covid-19 terhadap 30 pelajar bergejala mendapati semuanya negatif.

Pada 21 Jun, JKNS memaklumkan kluster ILI turut dikesan melibatkan pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Gombak.


Pengarang :