Petugas kesihatan mengambil darah peserta progam Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kesan awal risiko penyakit, EXCO kongsi lima fakta barah

SHAH ALAM, 28 JUN: Ujian pengesanan awal penting bagi individu berisiko tinggi terutama yang memiliki sejarah keluarga menghidap barah atau perokok.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkongsikan lima fakta barah bagi membantu orang ramai mengetahui punca penyakit serta cara mencegahnya.

Menurutnya, penyakit tersebut melibatkan pertumbuhan sel tidak normal dan boleh dihidapi semua golongan usia tanpa mengira jantina.

“Tidur tidak mencukupi enam jam sehari berpotensi diserang barah kolon, namun 30 hingga 50 peratus boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Selain itu, negara maju berjaya menyelamatkan ribuan pesakit barah menggunakan herba,” katanya melalui Facebook hari ini.

Berikutan itu, beliau menggalakkan orang ramai menyertai saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri yang kini rancak diadakan di seluruh Selangor.

Program Selangor Saring menyasarkan 500 hingga 1,000 penduduk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mendaftar dalam Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Menerusi peruntukan RM3.4 juta, seramai 39,000 penduduk terutama individu yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamal gaya hidup tidak sihat bakal memperoleh manfaat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan selangorsaring.selangkah.my, hubungi talian Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui drsitimariah.com/talian-suka/


Pengarang :