Majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Pt Tiga Serangkai (kanan) secara maya pada 7 Jun 2022. Foto Facebook Kuis
AGENSISELANGOR

Kuis, Pt Tiga Serangkai meterai persefahaman kongsi kepakaran

SHAH ALAM, 7 JUN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pt Tiga Serangkai dari Indonesia, hari ini.

Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Komuniti dan Industri Kuis berkata kerjasama itu bakal memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua institusi dan mengembangkan bidang kepakaran masing-masing.

Menurut Prof Madya Dr Mokmin Basri MoU itu membolehkan kedua-dua pihak menganjurkan program pertukaran pelajar dan pegawai, latihan industri, penyelidikan dan seminar.

“Kerjasama ini juga memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk menghidupkan semula aktiviti mobiliti, latihan industri dan seminar secara fizikal yang giat dijalankan sebelum pandemik Covid-19.

“Kita berharap dengan termeterainya memorandum ini semua aktiviti itu dapat dijalankan dengan lebih kerap selain perkongsian ilmu dan kepakaran dapat digarap dengan lebih meluas,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, kerjasama itu juga selari dengan visi Kuis dalam melahirkan sumber daya intelektual dan pendidikan universiti kepada masyarakat secara lebih meluas dan berkualiti.

MoU yang diadakan secara virtual itu ditandatangani oleh Dr Mokmin dan disaksikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Dr Abdul Razif Zaini.

Manakala, Pt Tiga Serangkai diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Eny Rahma Zaenah dan disaksikan oleh Ketua Pusat Kecemerlangan Erfan Zaenuddin.


Pengarang :