AGENDAJENAYAH

Kumpulan penjenayah sejak 2009 tumpas selepas peniaga sayur ditahan

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Polis menumpaskan kumpulan Tiger yang aktif dalam pelbagai kegiatan jenayah sejak 2009 selepas penahanan seorang peniaga sayur dipercayai ahli terakhir kumpulan itu, Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata suspek berumur 35 tahun merupakan adik kepada suspek yang ditembak mati dalam serbuan pada malam 18 Jun lepas di Salak Selatan, di sini.

Beliau berkata suspek warga tempatan itu ditahan di Kampung Tumbok di Tanjung Sepat, Selangor.

“Penahanan itu telah memaksa suspek mendedahkan maklumat penyimpanan senjata api jenis Colt M-4 yang telah dipisahkan di dalam sebuah paip PVC di sebuah reban ayam di kampung berkenaan.

“Turut ditemukan di dalam paip berukuran 150 mm x 94 cm itu ialah dua kelopak dan 69 butir peluru jenis 5.6 mm,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata suspek dan sembilan lagi yang ditahan sejak 18 Jun lepas disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 7 Bahan Letupan 1957.

Sementara itu, Azmi tidak menolak kemungkinan kesemua empat senjata jenis CZ 75 Compact, CZ 75 D Compact, Smith & Wesson dan Colt M-4 dan sebutir bom yang dirampas telah digunakan kumpulan berkenaan dalam tiga kes bunuh dan jenayah lain seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Kumpulan yang dianggotai suspek berumur 28 hingga 67 tahun itu dipercayai telah melakukan 15 kes samun, tiga kes bunuh dan pelbagai kes melibatkan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

Pada 18 Jun, polis menahan sembilan suspek dan menembak mati seorang daripadanya dalam operasi di sebuah kondominium di Salak Selatan.

-BERNAMA


Pengarang :