Kumpulan Semesta Sdn Bhd menerima anugerah Silver Award bagi kategori SME Best Employer sempena 21st Malaysia – International HR Awards di Bangsar South City, pada 17 Jun 2022. Foto KSSB 
AGENSISELANGOR

Kumpulan Semesta terima anugerah, amal tadbir urus cemerlang di tempat kerja

SHAH ALAM, 20 JUN: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) menerima Silver Award bagi kategori SME Best Employer sempena 21st Malaysia – International HR Awards di Bangsar South City, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Agensi itu memaklumkan anugerah anjuran Malaysian Institute of Human Resource Management (MIHRM) itu bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang dan amalan terbaik pengurusan sumber manusia sesebuah organisasi di Malaysia.

“Buat julung kalinya KSSB selaku anak syarikat milikan penuh Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya dianugerahkan Silver Award bagi kategori SME Best Employer.

“Ini merupakan pengiktirafan buat KSSB dari segi amalan tadbir urus terbaik dalam pengurusan dan pembangunan modal insan bagi menyokong kecemerlangan operasi dan perniagaan syarikat,” katanya menerusi kenyataan.

KSSB berkata antara faktor yang dinilai oleh juri professional bagi kategori itu meliputi amalan terbaik dalam pengurusan sumber manusia, penyediaan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat serta kemudahan pekerjaan yang kompetitif.

Selain juri turut menilai dari sudut prasarana yang mencukupi dalam menyokong keperluan latihan dan pembangunan kakitangan dan aplikasi sistem teknologi maklumat (IT) dalam pengurusan sumber manusia.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Operasi KSSB Mohamed Fariz Ghazali dan Ketua Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran Ahmad Hakimi Abd Hamid.


Pengarang :