Peniaga dan penduduk sekitar Kuala Selangor dipelawa sertai kursus penyediaan makanan halal pada 18 Jun 2022. Foto Facebook STDC
ADNSELANGOR

Kursus sedia makanan halal di STDC sasar 50 penyertaan

SHAH ALAM, 10 JUN: Seramai 50 individu sekitar Kuala Selangor disasar menyertai kursus penyediaan makanan halal pada 18 Jun ini di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati berkata kursus itu diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Industri Halal Selangor dan Yayasan Al-Moqni Malaysia.

“Program ini adalah percuma dan dibuka kepada penduduk di Kuala Selangor khususnya peniaga restoran, pengusaha makanan dalam talian, penjaja, pengusaha kantin sekolah dan katering.

“Lokasi premis perniagaan peserta juga mestilah terletak di dalam daerah Kuala Selangor,” kata Juwairiya Zulkifli kepada Selangorkini.

Beliau berkata kursus yang bermula jam 9 pagi hingga 1 petang akan mendedahkan peserta memgenai konsep halal dan haram makanan, kesilapan dalam penyediaan makanan, tahap kebersihan, bahan mentah serta proses pembungkusan.

“Selain itu, mereka juga akan diterangkan mengenai peranan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam bidang produk makanan, selain persekitaran yang baik dan mengapa hukum halal penyediaan makanan perlu diketahui,” katanya.

Individu atau peniaga yang berminat boleh mendaftar dengan menghubungi Hafiz di talian 013-3345627.


Pengarang :