Petugas ibadah korban memotong daging lembu untuk diagihkan kepada penduduk sekitar Bukit Antarabangsa pada 20 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Kursus sembelih haiwan korban Batang Kali sasar penyertaan belia

SHAH ALAM, 17 JUN: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Penyelaras Batang Kali menganjurkan kursus penyembelihan korban dan teknik melapah daging khusus untuk anak muda Ahad ini.

Pegawai penyelarasnya berkata program dengan kerjasama Penggerak Belia Selangor (PeBS), Persatuan Belia Masjid Selangor dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hulu Selangor berlangsung di Madrasah As-Sajidin, Batang Kali dari 8.30 pagi hingga 3 petang.

Menurut Saifuddin Shafi Muhammad program itu bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran belia antara 18 hingga 35 tahun berikutan kebanyakan proses sembelihan dan melapah haiwan korban dilakukan individu berusia.

“Sudah tiba masanya anak muda turut serta dalam gerak kerja utama sembelih dan lapah kerana kita bimbang mereka langsung tidak tahu jika tidak diajar serta mengharapkan pusat sembelihan semata-mata.

“Dalam masa sama kita mahu menerapkan nilai kerjasama berpasukan dalam kalangan komuniti. Jadi mereka akan diberi bimbingan teori manakala di akhir program nanti latihan praktikal,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 35 permohonan menyertai kursus berkenaan diterima setakat ini iaitu melebihi sasaran 30 peserta.

“Walaupun ditawarkan khusus untuk penduduk Hulu Selangor dan Batang Kali, kita juga menerima permohonan dari luar kawasan. Mereka ini akan dipertimbangkan mengikut keperluan.

“Jika ada lagi permohonan, kita mungkin akan menambah jumlah haiwan korban. Sebab itu kita mengenakan yuran RM50 sebagai komitmen untuk menyertai kursus ini, tetapi akan dikembalikan,” katanya.


Pengarang :