Keadaan Tasik Air Hitam di Bandar Mahkota Cheras yang menjadi tempat pembuangan sampah haram mengundang perasaan tidak selesa penduduk setempat akibat pencemaran bau. Foto Twitter Ong Kian Ming
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Laluan tapak sampah haram di Tasik Air Hitam ditutup

SHAH ALAM, 2 JUN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menutup laluan masuk ke sebuah tasik bekas kuari berdekatan Seksyen 5 Bandar Mahkota Cheras yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

Pegawai perhubungan awamnya berkata anggota penguat kuasa turut ditempatkan di situ bagi pemantauan selain sedang mengenal pasti pemilik tanah persendirian itu untuk pemulihan, lapor Sinar Harian.

Menurut Kamarul Izlan Sulaiman, aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan berkenaan dikesan sejak Disember tahun lalu namun keadaannya memburuk dua bulan kebelakangan ini.

“Sebanyak enam lori telah disita dalam tempoh dua bulan dan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi mengatasi aktiviti pembuangan sampah haram itu,” katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna Facebook berkongsi keadaan pencemaran di kawasan dikenali sebagai ‘Black Lake’ (Tasik Air Hitam) di Bandar Mahkota yang menyebabkan penduduk menghirup udara kotor.

Tasik itu dahulunya biasa dikunjungi penduduk setempat untuk pelbagai aktiviti riadah seperti berjoging, memancing dan berkelah.


Pengarang :