Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur pada 27 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Laporan remaja perempuan hilang diterima, minta orang awam salur maklumat

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Polis sudah menerima laporan berhubung kehilangan seorang remaja perempuan dikenali sebagai Nur Hidayati Duwaijah Mazlan sejak 20 Jun lepas di Kampung Bandar Dalam, Sentul di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata laporan mengenai kehilangan remaja berusia 17 tahun itu diterima daripada ibunya pada 21 Jun lepas.

Beliau berkata siasatan mendapati remaja itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya iaitu sebuah kondominium di Kampung Bandar Dalam di sini pada 7.20 petang.

“Remaja berkenaan dikatakan telah keluar dari rumah mereka untuk ke kedai dan sehingga kini, masih gagal dihubungi,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beh berkata remaja berketinggian kira-kira 145 sentimeter itu, yang berkulit cerah, berbadan sederhana dan kedua-dua matanya berwarna coklat, kali terakhir dilihat memakai baju berwarna merah serta seluar hitam dan kehilangannya telah dihebahkan melalui Nur Alert.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222.

– BERNAMA


Pengarang :