Orang ramai hadir melihat peluang kerjaya semasa Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK, Shah Alam pada 23 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Lebih 100 syarikat sertai Karnival Kerjaya Mega pada Sabtu, Ahad ini

SHAH ALAM, 10 JUN: Kerajaan Selangor akan menganjurkan Karnival Kerjaya Mega pada 11 dan 12 Jun ini di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Program yang menawarkan 20,000 peluang pekerjaan itu akan berlangsung mulai jam 9 pagi hingga 5.30 petang membabitkan penyertaan lebih 100 syarikat daripada pelbagai sektor.

Antaranya Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Syarikat lain adalah Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata karnival kerjaya itu bertujuan mengurangkan kadar pengangguran di Selangor iaitu 3.2 peratus pada suku pertama 2022.

“Kali ini ia diadakan pada skala lebih besar selepas dua tahun dilangsungkan secara hibrid susulan tatacara operasi piawai pandemik Covid-19,” katanya pada 12 Mei lalu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh layari www.SelangorJobportal.com.my.


Pengarang :