Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Sharipah Marhaini Syed Ali (kiri) meninjau galeri pameran di majlis perasmian Hari Terbuka @ PJ Eco Recycling Plaza sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 dan ulang tahun ke-16 Bandaraya Petaling Jaya di PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 9 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Lebih 1,000 kunjungi plaza kutipan barang kitar semula MBPJ

PETALING JAYA, 9 JUN: Galeria PJ Eco Recycling Plaza menerima lebih 1,000 pengunjung sejak dilancar pada 29 Mac lalu, kata timbalan datuk bandar Petaling Jaya.

Sharipah Marhaini Syed Ali berkata antara yang mengadakan lawatan ke plaza yang menyediakan khidmat kutipan barangan kitar semula adalah beberapa pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Perbandaran Pengerang, Johor.

“Turut mengadakan kunjungan ialah institusi pengajian tinggi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan.

“Mereka berminat untuk melihat model dan konsep PJ Eco Recycling Plaza yang lengkap berkaitan kitar semula,” katanya selepas merasmikan Hari Terbuka sempena Sambutan Alam Sekitar 2022 peringkat Petaling Jaya hari ini.

Beliau menambah sebanyak 187 barangan terpakai berjaya dijual di ruangan kedai eco dan beberapa bengkel.

“Ini adalah kejayaan plaza ini dan membuktikan barangan terbuang boleh disusun semula serta dijadikan sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Galeria PJ Eco Recycling Plaza beroperasi sejak 2019 menyediakan perkhidmatan kutipan barangan kitar semula, kelengkapan dan peralatan bengkel barangan terbuang yang boleh diguna semula.

Plaza itu juga dilengkapi kemudahan pembelajaran, kemudahan rawatan sisa makanan dan organik serta bilik seminar dan latihan.


Pengarang :