Antara burung gagak yang berjaya ditembak dan bakal dilupuskan. Foto Facebook MPKS
PBTSELANGOR

Lebih 2,500 burung gagak dilupus dalam operasi di sekitar Kuala Selangor

SHAH ALAM, 23 JUN: Sebanyak 2,531 ekor burung gagak berjaya ditembak dan dilupuskan dalam operasi anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 18 Jun lalu.

Menurut MPKS, operasi menembak gagak Siri 1/2022 itu dijalankan di sekitar Kuala Selangor membabitkan 14 orang penembak berlesen mulai jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Operasi ini dijalankan berikutan beberapa kawasan iaitu Padang Astaka Tanjung Karang, Taman Bendahara dan pekan Sungai Buloh serta beberapa kawasan perniagaan dicemari dengan najis, gangguan bau dan bunyi disebabkan oleh populasi burung gagak.

“Justeru, tindakan lebih agresif melalui operasi menembak telah diambil untuk membanteras spesies perosak itu,” katanya di Facebook.

Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan itu meminta kerjasama orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan bagi mengelak peningkatan populasi buruk gagak.

Sementara itu, operasi selama sehari itu dijalankan dengan kerjasama ibu pejabat polis daerah Kuala Selangor dan pejabat perkhidmatan veterinar daerah Kuala Selangor.


Pengarang :