Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abas ketika sidang media pra pelancaran Selbiz Expo 2022 di Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14, Shah Alam pada 27 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGOKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Lebih 41,000 usahawan berjaya perluas operasi hasil inisiatif PKNS

SHAH ALAM, 28 JUN: Lebih 41,000 usahawan berjaya mengembangkan perniagaan masing-masing menerusi pelbagai program anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketua Pengarah Eksekutif Dato’ Mahmud Abbas berkata jumlah itu adalah hasil kejayaan inisiatif memberdayakan usahawan yang dilaksanakan anak syarikat Kerajaan Negeri itu sejak 27 tahun lalu.

“Ramai usahawan berjaya sudah dilahirkan. Salah satu daripadanya adalah perniagaan tepung pelita. Kuih ini disejuk beku dan mendapat sambutan hangat.

“Secara tidak langsung ia meningkatkan pendapatan pengusaha kuih tempatan itu,” katanya pada sidang media pengumuman Ekspo Usahawan Selangor 2022 (SELBIZ2022) semalam.

Justeru, beliau berharap SELBIZ2022 pada September nanti dapat membantu lebih ramai usahawan kecil mengembangkan operasi perniagaan mereka.

“Program ini juga memberi peluang kepada usahawan baharu dan peniaga kecil memperkenal dan mempromosikan produk selain memperluaskan prospek pasaran ke pelbagai sektor.

“Inisiatif juga bertujuan menyemai semangat keusahawanan dalam kalangan belia dan menggalakkan kehadiran pelajar sekolah menengah, universiti serta bakal usahawan,” katanya.

SELBIZ2022 bakal diadakan pada 3 dan 4 September ini bagi membantu peniaga kecil mengembangkan produk jualan masing-masing.

Program julung kali itu menyasarkan transaksi urus niaga sehingga RM5 juta sepanjang dua hari berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam.


Pengarang :