Antara pengunjung yang hadir pada program pemeriksaan kesihatan percuma sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Mental MBSJ 2022 pada 11 Jun 2022. Foto Facebook MBSJ
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Lebih 50,000 individu sudah jalani saringan SEHAT

SHAH ALAM, 22 JUN: Lebih 50,000 individu sudah menyertai saringan program Selangor Mental Sihat (SEHAT) menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sejak ia dilancar Ogos tahun lalu.

Penyelaras program SEHAT berkata daripada jumlah itu seramai 40 peratus individu mengalami tahap tekanan rendah, 40 peratus (sederhana) dan 20 peratus (tinggi).

Menurut Dr Muhammad ‘Adil walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik masih ada individu yang mengalami tekanan perasaan dan kebanyakannya berpunca daripada masalah kewangan, pekerjaan serta rumahtangga.

“Kita amat menggalakkan lebih ramai individu menyertai program saringan ini kerana ia penting untuk mengetahui tahap kesihatan mental mereka.

“Tindakan untuk menjalani saringan tidak bermakna kita ada penyakit mental tetapi lebih baik mencegah daripada berlarutan atau menjadi semakin serius,” katanya kepada Selangorkini.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

SEHAT boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama aplikasi SELangkah. Antara fungsi yang boleh diteroka pengguna adalah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.


Pengarang :