Pasukan Wanita Selangor FC menjalani latihan menjelang saingan Liga Wanita Nasional 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Liga Wanita Nasional: Selangor FC mulakan saingan lawan ATM esok

SHAH ALAM, 3 JUN : Pasukan wanita Selangor FC akan memulakan saingan dalam Liga Wanita Nasional 2022 selepas dua tahun tidak beraksi.

Penolong Pengurus Pasukan Izzat Salihuddin berkata pasukan yang dibentuk hasil kerjasama Selangor FC da FA Selangor itu memulakan aksi menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di JSA Arena, Setia Alam, esok.

“Sebelum penubuhan pasukan ini, barisan kejurulatihan kita turut meneliti pencapaian dan perlawanan terdahulu bagi mencari kekuatan dan kelemahan dalam menambah baik pemain.

“Kita turut mengkaji pasukan lawan sebagai persediaan dalam memulakan liga nanti,” katanya menerusi kenyataan Selangor FC hari ini.

Izzat berkata pemilihan ahli pasukan diadakan secara tertutup dengan memanggil pemain berpotensi selain penelitian prestasi turut dibuat menerusi kejohanan Liga Super Wanita FAS pada Januari lalu.

“Seramai 28 pemain termasuk beberapa pemain kebangsaan berjaya didaftarkan dan lebih separuh ahli pasukan berusia bawah 23 tahun.

“Kami mahu pemain muda ini mendapat pendedahan awal untuk beraksi lebih matang dalam masa terdekat. Semoga semuanya dapat bermain dengan cemerlang sekali gus memperkasa kelab secara menyeluruh,” jelasnya.

Tujuh pasukan mengambil bahagian termasuk Selangor FC dalam saingan ini. Selain perlawanan esok, aksi pada bulan ini turut melibatkan Selangor FC menentang First 11 (11 Jun, 8 pagi) dan Setiawangsa Sollo (18 Jun, 8 pagi).

 


Pengarang :