EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian (kanan) bersama Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hasrolnizam Shaari (tengah) meninjau lokasi dipercayai punca berlakunya pencemaran bau Sungai Semenyih di sebuah kilang di Jalan Rinching Hulu, Semenyih, Kajang pada 23 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Loji Sungai Semenyih henti tugas akibat pencemaran bau, tiada gangguan bekalan air

HULU LANGAT, 23 JUN: Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dihenti tugas akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih pada 10.15 pagi tadi.

Bagaimanapun, EXCO alam sekitar berkata tiada gangguan bekalan air kepada pengguna berikutan tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengawal pencemaran.

Menurut Hee Loy Sian siasatan awal mendapati pencemaran bau itu dipercayai berpunca daripada sebuah kilang memproses minyak sawit, yang mana bacaan direkod sehingga empat TON (Nombor Bau Nilai Ambang).

“Susulan ini, LRA Semenyih terpaksa dihenti tugas dari 10.15 pagi hingga 12.45 tengah hari. Bekalan air disambung semula kepada pengguna pada 1.45 petang apabila pencemaran dikurangkan kepada sifar TON.

“Kali ini pencemaran tidak masuk ke muka sauk dan gangguan tidak lebih empat jam, ia tidak beri impak gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas meninjau sebuah kilang dipercayai punca berlakunya pencemaran bau Sungai Semenyih hari ini.

Tambah Loy Sian, pihaknya telah mengambil sampel pencemaran di sump dan kawasan premis untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisa lanjut.

“Kilang ini beroperasi lebih 30 tahun dan sememangnya terletak di kawasan industri berat. Berdasarkan rekod juga ini bukan kesalahan kali pertama dilakukan kilang tersebut.

“LUAS dan beberapa pihak terlibat akan membuat laporan polis dan membuka kertas siasatan di bawa peruntukan Enakmen LUAS 1999,” katanya.


Pengarang :