Anggota LUAS mengesan cecair berwarna merah dalam longkang berhadapan sebuah premis di Jalan Sungai Pinang, Klang pada 29 Jun 2022. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

LUAS kesan cecair merah di Klang, sampel cemar dianalisis

SHAH ALAM, 30 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) semalam mengesan cecair berwarna merah dalam longkang berhadapan sebuah premis di Jalan Sungai Pinang, Klang.

EXCO alam sekitar berkata cecair yang dilepaskan itu kemudian mengalir ke kawasan kolam tadahan Jabatan Pengairan dan Saliran, seterusnya memasuki Sungai Chandong.

Menurut Hee Loy Sian, anggaran jarak longkang tersebut ke lokasi pencemaran sekitar 1.32 kilometer yang dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Hasil penelitian LUAS, insiden ini disebabkan oleh perbuatan pihak tidak bertanggungjawab membuang bahan buangan ke dalam longkang berikutan tiada penemuan punca aliran berwarna merah ini.

“Pihak LUAS telah menjalankan pensampelan untuk dianalisis di makmal bagi mengenal pasti kualiti dan kandungan pencemaran tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, pemantauan rapi terus dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan sumber air negeri ini terpelihara selain bekerjasama dengan penduduk untuk mengenal pasti pelaku.

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999,” kata Loy Sian.

Lewat petang semalam, LUAS menerima maklumat orang awam susulan air berwarna merah di Sungai Chandong, namun kembali normal berikutan air pasang.

Keadaan air berwarna merah di Sungai Chandong, Klang, lewat petang 29 Jun 2022 (sebelah kiri) dan kembali normal berikutan air pasang. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

Pengarang :