Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Sabirin Mohd Sarbini berucap pada majlis pelancaran Bulan Taksir Zakat Lembaga Zakat Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 23 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

LZS sedia hadiah menarik sepanjang kempen bulan taksiran zakat

SHAH ALAM, 23 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan kempen Bulan Taksir Zakat bagi menggalakkan orang ramai mentaksir sendiri jumlah zakat yang perlu dibayar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata kempen dengan slogan ‘Sempurnakan Zakatmu’ itu bermula sejak 15 Jun lalu hingga 31 Julai ini.

Beliau berkata, ia adalah inisiatif yang dilaksanakan bulan Jun setiap tahun bertujuan membudayakan taksiran zakat dan mendidik masyarakat supaya lupa mengenai tanggungjawab itu.

“Kempen ini bertujuan menggalakkan taksiran pelbagai jenis zakat harta selain pendapatan kerana majoriti pembayar didapati hanya menunaikan satu jenis zakat sedangkan ada harta lain perlu dizakatkan.

“Malah, tahun lalu, lebih 8,900 daripada 17,780 pembayar zakat menunaikan zakat perniagaan di bawah nisab kerana kurang pendedahan berhubung kiraan jumlah zakat yang perlu ditaksir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Bulan Taksir Zakat oleh Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Jamalullail di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Sabirin berkata mereka yang mentaksir zakat menerusi aplikasi Zakat Selangor atau portal LZS sepanjang kempen itu boleh menebus baucar KFC di cawangan LZS berdekatan beserta bukti taksiran zakat.

Katanya, mereka juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti motosikal dan jam pintar sekiranya membayar zakat selepas membuat taksiran.

“LZS turut memperkenalkan kemudahan terkini pembayaran zakat secara ansuran melalui perkhidmatan debit terus dari akaun bank pembayar hasil kerjasama Bank Islam Malaysia dan InfaqPay.

“Dengan adanya kemudahan ini, pembayar dapat menunaikan zakat secara potongan terus dari akaun bank dengan lebih mudah pada setiap bulan,” katanya.

Maklumat terkini mengenai kempen taksiran itu boleh diperoleh di portal jom zakatselangor.com.my atau Facebook dan Instagram @ZakatSelangor.


Pengarang :