Pesawat milik Malaysia Airlines mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MAHB: Pergerakan penumpang melebihi paras 7 juta pada Mei

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Prestasi trafik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk keseluruhan rangkaian lapangan terbangnya mendapat tarikan pada Mei 2022, mencatatkan pergerakan penumpang tertinggi setakat ini melepasi paras tujuh juta buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

Menurut pengendali lapangan terbang itu, pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik, masing-masing mencatatkan trafik tertinggi pada tahun ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia adalah menggalakkan, mencecah jumlah satu juta pada Mei 2022, hanya dalam tempoh sebulan selepas pembukaan semula sempadan.

“Lanmei Airlines, syarikat penerbangan berjadual baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mula beroperasi pada 28 Mei, dengan kekerapan sekali seminggu dan merancang untuk meningkat kepada tujuh kali seminggu.

“IndiGo Airlines, Jin Air, Thai Smile Airways, Royal Brunei dan Philippine AirAsia telah beroperasi semula pada Mei.

“Sementara itu, AirAsia, Himalaya Airlines, Indonesia AirAsia, Jetstar Asia, Oman Air, Saudi Arabian Airlines, Scoot Airlines, Thai AirAsia, Thai Airways, US Bangla, Vietjet dan Vietnam Airlines turut meningkatkan kekerapan, menyumbang kepada tambahan 209 kekerapan mingguan pada Mei,” katanya.

Bagi pergerakan penumpang domestik, pengurus lapangan terbang itu berkata ia adalah sama menggalakkan, mencecah lebih tiga juta penumpang atau 91 peratus daripada paras sebelum Covid.

“Pertumbuhan itu didorong oleh sambutan Aidilfitri pada awal Mei dan sambutan musim menuai Sabah dan Sarawak pada akhir bulan.

“Momentum trafik pada Mei turut berterusan hingga Jun dengan peningkatan 11 peratus dalam purata pergerakan penumpang harian kepada 163,000,” katanya.

Sementara itu, MAHB berkata pergerakan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA) Istanbul juga terus menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, didorong oleh trafik percutian, laluan syarikat penerbangan dan peningkatan kapasiti.

“Pergerakan penumpang antarabangsa mencatatkan jumlah tertinggi setakat ini pada 2022, mencatatkan 1.2 juta penumpang.

“Anadolujet dan Pegasus memulakan perkhidmatan baharu ke Milan-Bergamo dan Helsinki dengan penerbangan harian dan empat kali seminggu, masing-masing pada 16 dan 26 Mei,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :