Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan sumbangan kepada 288 keluarga asnaf di Hulu Langat dan Petaling Jaya pada 13 Jun 2022. Foto Facebook Mais
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais bantu ringan beban 288 keluarga asnaf di Hulu Langat dan Petaling Jaya

SHAH ALAM, 14 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah berjumlah RM28,800 bagi membantu 288 keluarga asnaf sekitar Hulu Langat dan Petaling Jaya, hari ini.

Agensi itu memaklumkan seramai 274 keluarga yang menerima sumbangan itu adalah dari Hulu Langat, manakala baki 14 lagi dari Petaling Jaya.

“Setiap penerima bantuan menerima set makanan kering berupa beras, minyak masak, gula, tepung dan susu dengan nilai sumbangan berjumlah RM100.

“Semoga bantuan yang diagihkan dapat meringankan kos perbelanjaan seharian terutama kepada mereka yang memerlukan,” katanya di Facebook.

Bagi individu yang belum sempat menunaikan kewajipan membayar fidyah boleh melakukan bayaran secara dalam talian menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php

Sebelum ini Mais menyasarkan jumlah kutipan fidyah sebanyak RM8.5 juta pada tahun ini menerusi Kempen Fidyah Negeri Selangor, Kewajipan Yang Sering Dilupakan, yang bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kewajipan tersebut.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata kempen yang bermula 1 Mac hingga 25 Mac itu mengajak masyarakat untuk celik, cakna dan memahami maksud fidyah atau qada puasa sebagaimana dituntut dalam hukum syarak.


Pengarang :