BUDAYARENCANA

‘Mak, boleh tak Hadi nak baca sajak?’

1.0 – “Mak, nak dengar puisi Hadi, tak?”
“Boleh. Bacalah.”
“…….”
“Kenapa tak baca? bacalah.”
“……”
“Baca je.”

***

2.0 – Di dasar mata ibu ada aku
& sebenarnya aku lebih rindu
Untuk tinggal lebih lama di dalamnya
Tapi, aku tahu, sajak itu bertanggungjawab ke atas ombak yang bergelora
Dalam kelopak matanya, menyebabkan rumah aku dalam bahaya
Sebab malam tu aku tak bersajak, aku tahu dia rasa bersalah
Sebab pernah haramkan sajak dalam hidup aku.

***

3.0 – “Baca je.”
“Tak apalah, mak. Hadi dah taknak bersajak.”
“Mak tak pernah haramkan kamu bersajak selagi tak runtuhkan rumah akidah
Yang kamu bina dari bata iman.”

***
4.0 – & Aku rindu. Kesementaraan adalah peria pahit. Waktu itu, aku fikir, tubuhku akan kekal remaja, tanpa membesar.

***

5.0 – “Mak, sajaksajak Hadi, telah tersiar di akhbar-akhbar & majalah-majalah!”

***
6.0 – Mak telah berseronok di taman ukhrawi. & sajak aku masih begini. Kekal remaja di hadapan cermin penilaian. Seperti aku, sajaksajak aku juga tak pernah membesar (barangkali)

 

M. Emir

 


Pengarang :