Pasukan penyelamat giat menyelamatkan mangsa terjejas banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Mangsa banjir Kota Kemuning belum terima bantuan persekutuan

SHAH ALAM, 20 JUN: Mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning setakat ini masih belum menerima dua jenis bantuan yang diumum kerajaan persekutuan.

Wakil rakyatnya memaklumkan bantuan itu adalah membaik pulih rumah yang diurus Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPT) dan bantuan automotif kenderaan yang diurus Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Sehingga kini selaku Ahli Dewan Negeri (ADN) saya tidak menerima sebarang data perumahan yang telah siap atau yang dalam tindakan mahupun senarai menunggu untuk membaik pulih rumah.

“Malah bantuan automotif kenderaan bernilai RM1,000 bagi sebuah kenderaan juga belum diterima,” kata V Ganabatirau dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedia membantu KPKT dan LHDN dengan memberi maklumat mangsa banjir yang terkesan, namun setakat ini tidak menerima sebarang maklum balas.

“Terdapat juga ribuan mangsa yang masih belum menerima bantuan wang ihsan berjumlah RM1,000 dan bantuan barangan keperluan asas RM2,500 daripada kerajaan persekutuan.

“Kita telah menawarkan bantuan dengan mengambil data pemohon yang belum menerima bantuan kepada pejabat pembangunan persekutuan Selangor, Jabatan Perdana Menteri (ICU-JPM) bagi mempercepatkan proses bantuan,” katanya.


Pengarang :