AGENDANASIONAL

Maritim tahan tujuh pendatang asing, dua tekong darat di Langkawi

ALOR SETAR, 23 JUN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tujuh pendatang asing warga Myanmar dan dua tekong darat menerusi Op Moon pada 18 Jun lepas.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata tangkapan itu dibuat hasil maklumat dan risikan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) Langkawi.

“Pada 4.30 petang, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun disyaki tekong darat telah menghantar tujuh lelaki warga Myanmar berumur 22 hingga 40 tahun ke Terminal Feri Penumpang Kuah dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.

“Kesemua pendatang asing itu menaiki feri yang sedang menuju ke Kuala Kedah bagaimanapun, pasukan operasi telah berjaya memintas dan memberhentikan feri berkenaan di kedudukan 0.4 batu nautika Timur Laut Pulau Dayang Bunting pada 4.40 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua pendatang asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan susulan.

Beliau berkata pada 21 Jun, seorang lelaki berumur 26 tahun dipercayai rakan kepada tekong yang ditahan telah datang ke pejabat Maritim Malaysia pada 1.30 petang dan membawa sejumlah wang tunai dengan tujuan memberi sogokan bagi melepaskan rakan dan pendatang asing terbabit.

“Lelaki berkenaan telah ditahan dengan bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Siasatan masih dijalankan dan kita sedang menyiasat sekiranya terdapat saki baki individu yang terlibat dalam sindiket berkenaan.

“Kesemua pendatang asing itu akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala kedua-dua tekong darat itu disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

Romli berkata sindiket itu dipercayai telah lama beroperasi kerana kedua-dua tekong darat yang ditahan cekap dan berhati-hati sehingga membolehkan kesemua pendatang asing berkenaan masuk ke dalam feri tanpa dikesan pihak berkuasa.

“Tekong darat berkenaan mendapat bayaran lumayan antara RM5,000 hingga RM8,000 dan itu membuatkan sindiket ini semakin berleluasa. Sebab itu, Maritim Malaysia menjalinkan kerjasama rapat dengan agensi lain bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang menjadikan Langkawi sebagai transit sebelum ke tanah besar,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :