Foto Facebook MAT KILAU THE MOVIE
AGENDANASIONAL

Mat Kilau kutip lebih RM11 juta dalam empat hari, atasi filem Hollywood

SHAH ALAM, 27 JUN:: Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan meraih kutipan lebih RM11 juta dalam tempoh empat hari tayangan, berdasarkan maklumat terkini diperoleh penerbit.

Filem arahan Syamsul Yusof itu mendahului karya lain termasuk Hollywood dalam carta pecah panggung seperti Top Gun Maverick, The Black Phone, Elvis dan Vikram, lapor portal Berita Harian.

Mengulas sambutan memberangsangkan itu, Syamsul melihat reaksi penonton persis istilah ‘kebangkitan’ dalam judul filem berkenaan.

“Empat hari kutip lebih RM11 juta… Bukan sekadar judul filem itu sendiri yang ada perkataan ‘kebangkitan’ semata-mata. Ini ‘kebangkitan’ dalam banyak aspek dan sudut… Kun Fayakun, tsunami filem Melayu.

“Terbukti penonton kita khususnya orang Melayu tidak mengenepikan filem tempatan. Sebenarnya, mereka menunggu filem yang menepati cita rasa dan berkualiti,” katanya yang bersyukur dengan pencapaian itu.

Mengenai semangat penonton berbusana Melayu klasik ketika ke pawagam, Syamsul berkata situasi itu luar biasa, seolah-olah melihat bagaimana peminat Star Wars sanggup mengenakan kostum watak dalam filem terbabit.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diterajui Datuk Adi Putra yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Tidak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

 


Pengarang :