Tinjauan Rumah Selangorku di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 10 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: 130,545 unit rumah mampu milik dibina, perluas milikan kediaman selesa

KAJANG, 25 JUN: Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan sebanyak 130,545 unit Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan menerusi 76 projek.

Dato’ Menteri Besar berkata daripada jumlah keseluruhan rumah mampu milik itu, sebanyak 78,132 unit adalah Rumah Selangorku Idaman membabitkan 31 projek, manakala selebihnya Rumah Selangorku Harapan.

“Lebih 126,000 unit daripada kedua-dua jenis perumahan ditawar kepada orang awam sementara baki diberi kepada Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY).

“Kita gembira kerana berjaya membuktikan bahawa Kerajaan Selangor bukan hanya mampu merancang tetapi melaksanakannya walaupun berdepan kekangan pandemik Covid-19 selain kesukaran lain.

“Sememangnya ia memberi kelegaan kepada pemaju selain membuka ruang pemilikan rumah berkualiti dan selesa. Kita berada di landasan betul dan percaya lebih banyak unit diserahkan kepada orang ramai tahun depan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyerahkan kunci Rumah Idaman kepada 10 pembeli di Pangsapuri Idaman Abadi Kajang 2, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih di sini.

Turut hadir EXCO Perumahan Rodziah Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Sdn Bhd (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Sementara itu, Amirudin berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memantau dari semasa ke semasa projek pembinaan terbabit supaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“LPHS ada sistem pemantauan dan mereka harus melapor dari semasa ke semasa. Perumahan harga kawalan dan perumahan mampu milik juga diperhatikan.

“Ini bermakna bukan semua rumah mengikut kaedah Harapan dan Idaman, ada yang masih mengikut Rumah Selangorku 2.0 jenis A, B, C, D dan E,” katanya lagi.


Pengarang :